Friday, December 3, 2010

Erti Kemanusiaan - Nora Reformis

Salam kepada semua rakan FB dan blog Nora,

Terima Kasih kerana memberi sokongan kepada FB Nora yang hari ini sudah menjangkau lebih dari 1,000 rakan. Mulai hari ini, Nora ingin menggunakan FB ini bukan sahaja untuk menceritakan aktiviti Nora malah mahu berkongsi dengan rakan-rakan FB Nora khususnya mengenai isu-isu mengenai kemanusiaan, wanita dan kehidupan. Nora akan mula menulis secara serius kerana Nora baru sahaja di terima masuk sebagai Fasilitator kepada Institut Kajian Asas Kemasyarakatan setelah beberapa tahun mengikut Institut ini dalam usaha mereka menyentuh erti kemanusiaan. Nora bermula dengan bekerja membantu mengemas-gemas pejabat dan kemudian diberi peluang untuk mengenali aktiviti Institut secara dekat dan rapat. Nora menghadiri beberapa program, mendengar dan turut belajar mengenai banyak perkara. Nora telah mengikuti kursus Bahasa Inggeris dan kemudian terlibat dalam membantu menyiapkan beberapa kajian mengenai kemiskinan. Nora mengambil pelajaran itu dan menyesuaikan dengan apa yang terjadi dalam hidup Nora. Nora tidak mahu bertindak menyembunyikan perkara-perkara tragis yang berlaku semata-mata mahu menutup pekong yang akhirnya akan berbau juga. Nora mengambil langkah menolak erti segan dan malu atas alasan tidak mahu perkara-perkara buruk berlaku ke atas Nora berlaku kepada yang lain. Nora tidak mahu melihat penderitaan Nora ini terbiar sebagai kisah hidup yang tidak memberi pengajaran kepada yang lain khususnya mereka yang hari ini tersepit dalam hidup berkeluarga tetapi bermasalah.

Sebenar tadi Nora menerima SMS mengenai protes membantah kenaikan harga dan ada demo yang akan dilakukan mengenai ini. Demo yang akan diadakan adalah pada 5hb Disember 2010 dan demo ini akan menyaksikan perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara. Ini adalah antara berpuluh-puluh demo yang Nora hadiri dan di tahan lebih kurang 13 kali. Namun bagi Nora ini adalah bentuk perjuangan rakyat yang perlu Nora sertai dan bangkit membantu untuk memperjuangkan nasib dan hak rakyat. Namun SATU keputusan telah Nora buat. Ini adalah demo terakhir yang akan Nora sertai. Nora mengambil keputusan untuk menutup hidup demonstrasi Nora dan Nora akan kembali menikmati dunia yang lebih ceria sejak Nora berpisah dengan suami Nora. Nora rasakan ada keperluan lain untuk Nora lakukan selain dari perjuangan rakyat melalui wadah politik. Nora merasakan perlu Nora bangkit dengan realiti kehidupan. Nora merasakan Nora perlu menceritakan semuanya untuk dijadikan iktibar kepada semua adik-adik, kakak-kakak dan ibu-ibu yang ada di luar sana. Nora rasa pengalaman Nora biar mereka katakan sebagai membuka pekong di dada, perlu dikongsi secara keseluruhan – demi kebaikan dan demi memperjuangkan pula diri Nora. Nora telah melalui berbagai-bagai perkara tragis tetapi Alhamdulillahlah Nora telah dibuka ruang dan peluang – membebaskan diri dari terkongkong dengan bekas suami yang tidak bertanggungjawab. Nora sudah melalui semua aspek kehidupan sejak Nora kahwin dalam usia muda iaitu 16 tahun. Apa yang tidak Nora lalui - dipukul, difitnah dan ditipu oleh bekas suami Nora yang hari ini – terus menerus tidak mengatakan yang benar.

Nora pernah di fitnah oleh bekas suami Nora sebagai mengandung anak luar nikah yang akhirnya anak itu mirip muka dia, cuba dijual oleh bekas suami Nora kepada Ah Long kerana pinjaman yang tidak dapat diselesaikan, di tumbuk muka dan dibiarkan seorang di lobi hotel Istana kerana lari dengan seorang perempuan sehingga majikan bekas suami Nora itu memberi wang bas sebanyak 60 sen untuk balik dan hidup penuh kesengsaraan – akibat perbuatan yang amat jijik oleh bekas suami Nora tersebut. Banyak lagi yang Nora lalui sendirian walaupun Nora seorang isteri tetapi lebih bertanggungjawab sebagai tunggak yang mencari wang untuk keluarga.

Nora rasa pengalaman Nora ini amat berguna untuk semua yang sedang mempunyai masalah dalam rumah tangga. Nora ingin menyentuh hidup mereka, membebaskan mereka dari kongkongan lelaki yang tidak orait. Nora rasa ada keperluan untuk Nora bangkit menceritakan semua – bukan untuk membuka pekong tetapi bagi memberi kesedaran bahawa cinta buta – kasih sayang palsu boleh membuai kita sehingga kita setiap masa merasakan akan ada perubahan yang tidak pernah kunjung tiba. Oleh sebab itu dan beberapa sebab lain Nora terpaksa berani untuk menceritakan semuanya untuk menyelamatkan ramai lagi kaum wanita dari terus menjadi hamba kepada suami yang tidak bertanggungjawab. Nora akan membukanya sehingga kita semua dapat berkongsi pengalaman hidup. Nora percaya ini jalan perjuangan yang baru. Nora tegaskan Nora tidak akan terlibat lagi dalam perjuangan jalanan – menuntut pembaharuan tetapi Nora akan berdiri atas kesedaran yang ada – ilmu dan pengalaman yang dipelajari. Nora rasa Nora terpaksa menyentuh hati-hati rakyat dengan mencari kekuatan dalam diri untuk terus berjuang tetapi tidak dalam lingkaran politik yang semakin mengganas. Sungguhpun begitu Nora tetap ahli PAS.

Nora telah berjuang dalam lingkaran politik. Nora telah ditangkap berpuluh kali. Nora telah mempertaruhkan hidup bukan sahaja kepada perjuangan politik tetapi kepada lelaki biadab dan tidak berguna. Nora akan terus berjuang dan akan mencari NGO untuk bernaung selain dari Institut Kajian Asas Kemasyarakatan. Telah sampai masa, perjuangan rakyat ini dilepaskan kepada politikus yang mengatakan perjuangan ini perlu dipolitikkan. Nora serahkan kepada mereka – politikus untuk menyambung perjuangan ini supaya mereka boleh melakukan perubahan dengan cara mainan politik.

Hari ini, Nora telah membuat tekad untuk mengalihkan perjuangan hak rakyat ini dari politik kepada NGO dan kerja sukarelawan yang sebelum ini telah banyak Nora ceburi. Kepada kepimpinan yang ada, lakukan apa yang mereka rasa baik untuk perjuangan rakyat dan jangan hanya mahukan perubahan dengan melakukan retorik politik. Nora percaya bahawa perjuangan reformasi ini boleh diteruskan oleh mereka yang percaya politik itu segala-galanya – nilai kemanusiaan di ukur dengan politik.

Nora akan terus menulis bagi merealisasikan Erti Kehidupan – Nora Reformis.