Monday, June 29, 2009

Terima Kasih

Terima Kasih, Aiman Athirah Al Jundi http://aljundiathirah.blogspot.com/ dan Kak Narshita, Dr. Wardah dan adik Asiah kerana sudi datang ke rumah Nora. Kehadiran mereka telah memberi semangat kepada Nora untuk berdepan dengan tragis yang menimpa Nora baru-baru ini. Dan segala kesulitan ini Nora terima dengan tabah. Ini ujian buat Nora dan ujian ini akan Nora tempuhi penuh redha.



Nora amat berterima kasih kepada kawan-kawan Nora yang lain – Che Bard, Black (Amin Iskandar) Norzaidi, Fadhil atau Kambing, Ustad Badrul Amin, Dr Nasir dan lain-lain yang tidak sempat Nora sebutkan. Hari ini sudah lewat jam 4.00 pagi – Nora baru pulang dalam menyelesaikan satu lagi masalah baru yang terbit akibat sikap buruk dan tidak bertanggungjawab orang yang tidak orait itu lagi – nak harapkan dia – memang sudah tidak boleh lagi. Nora dalam tiga hari ini berdepan lagi dengan dugaan kehidupan. Alhamdulillah ia dapat Nora selesaikan. Apa pun Nora terima dan demi anak-anak – Nora sanggup lakukan apa sahaja.



Sungguhpun ada kalanya agak perit untuk Nora lalui namun untuk meratapi nasib – bukan cara Nora. Nora bukan Nora yang terpapar sewaktu dalam reformasi atau tak kala hadir dalam perjuangan menuntut keadilan. Nora juga insan biasa yang melalui hari demi hari dengan dugaan yang amat getir. Cuma akhir-akhir ini – Nora berani, jauh lebih berani kerana sanggup melakukan transformasi dan reformasi diri. Nora bangkit keluar dari genggaman lelaki yang tidak orait – meratah hari untuk membina semula hidup Nora. Alhamdulillah – sedikit sebanyak Nora susun semula. Dengan sedikit kekuatan itulah Nora berani menulis mengenai lelaki yang tidak orait itu – melepasi gerigi besi yang selama ini membelenggu Nora. Nora juga bertekad untuk membantu mereka yang turut mengalami masalah yang sama, setakat yang Nora mampu. Nora bukan dari mereka yang belajar tinggi tetapi Nora hadapi hidup sebagai sebuah paparan pelajaran – boleh dikatakan Nora lalui secara praktik dan bukan teori. Apa yang daya Nora nasihat akan Nora nasihat. Hidup ini kadang-kadang - elok di pandang mata sebenarnya tidak elok dalam hati nurani dan ada pula yang sakit dipandang mata tetapi murni hati dan budi. Jangan terpedaya!



Kita nilai sebaik mungkin dan tidak hanya melihat pada kecacatan yang ada sebagai konklusi keburukan. Apa pun Nora pasti perjuangan tidak selesai lagi. Nora percaya Nora perlu berubah dan Nora percaya perubahan itu akan memberi kesan pada persekitaran Nora yang akan memberi impak kepada keadaan keliling.

Kepada semua – Terima Kasih

3 comments:

Anonymous said...

Salam,

Saya adalah orang kat Masjid India. Saya dok sana lama dah. Saya baca blog Nora baru ini dan ada terlihat link puan tentang Nora. Saya baca dalam apa yang puan cakap mengenai puan tidak kenal sangat dengan Nora.

Saya kenal dan saya tengok ramai yang tak tahu hal Nora. Saya rasa sudah sampai masa puan dari PAS membuka mata mengenai Nora. Dia bagi saya amat murni orang nya. Dia ahli Pas yang agak berbeza tapi saya percaya kadang-kadang dia lagi baik dari orang lain yang ada dalam Pas. Dia orang yang bangga dalam Pas tapi kadang-kadang saya tegur dia kerana Pas sendiri tak tengok dia. Saya cakap, Nora jangan lah agung Pas itu, dia tak fikir pun hal ko kerana ko nampak tak macam wanita Muslimah. Nora hanya senyum dan kata, itu tak jadi masalah lah. Saya buat ikhlas.

Saya ingat satu masa dulu, dia yang bertungkus-lumus walau tak de duit buat kenduri arwah Pak Mat dan hari yang Pak Mat meninggal sempat dia belanja makan ayam yang di idamkan oleh Pak Mat walau dia sendiri tak dapat makan. Tanya Syed kat Masjid India, bahkan tanya sesiapa saja kat Masjid India. Semua kawan dengan Nora, baik orang sihat otak atau orang sakit mental. Semua dia kawan. Kalau nak kepastian boleh tanya artis yang dah sedikit mental – Ben Nathan. Dalam keadaan Nora kesempitan hidup pun Ben ini sering kali lalu depan tong Nora dan Nora akan bagi duit untuk dia makan. Semua orang sakit mental pun dia layan ini pula orang yang sihat mental. Dia tak prejudice dalam tolong orang. Orang penagih pun dia tolong. Mungkin sekarang ini Ben Nathan kesepian kerana Nora dah tak de kat Masjid India. Kat sana selebriti Masjid India adalah Nora dan kalau orang tengok tak sangka dia berdepan dengan masalah yang amat besar. Dia memang pandai simpan dan tak pernah cakap buruk. Tapi membaca blog Nora saya turut simpati tetapi tidak terkejut dengan perbuatan suaminya.

Nora hidup kais pagi makan pagi tetapi dia tetap berusaha untuk berniaga untuk sara bukan saja anak dia tapi suaminya yang minum kopi dengan kawan-kawan tetapi suruh Nora bayar. Saya amat rasa sedih dengan tulisan tragis buat Nora tapi saya percaya Nora akan dapat kehidupan yang lebih baik tanpa dukung biawak hidup. Oh ya ada lagi yang akan membuat kita sedih menjelang bulan puasa nanti. Selalu Nora akan tempah restoran kat Palace hotel untuk bebudak kecil dan orang yang melarat hidup untuk berbuka secara percuma. Kata Nora pada saya, menjelang bulan puasa selalu dia dapat rezeki lebih dan dia selalu kata rezeki ini perlu diagihkan kepada mereka yang lebih buruk nasib dari Nora. Saya juga masa tulis ini rasa amat sedih dan kalau upaya tentu saya dah bantu. Maaf tulis banyak sangat tetapi untuk Nora ini saya fikir kita kalau ramai-ramai tahu, dia bukan orang yang kita sangkakan. Kita yang tak kenal mungkin tak tahu tapi dia betul-betul pemurah dan suka bersedekah. Dia mudah menangis bila orang dalam kesusahan tetapi jarang menangis bila dia susah. Sekarang Nora tak de kat Masjid India tetapi sekali-sekali dia datang dia terus ceria dan ramai yang ceria dengan kehadiran dia. Saya rasa korang datang ke Masjid India dan tanya mengenai Nora. Saya minta Allah bantu Nora agar dia dapat kehidupan yang baik kerana dia baik dengan orang. Bagi Nora, saya ucapkan terima kasih kerana dia pun pernah membantu saya. Ini Nora kalau korang nak tahu

Salam kepada semua.

Anonymous said...

SALAM ZIARAH...teruskan perjuangan

Unknown said...

teguhkan hati, insyallah tuhan akan bantu