Monday, April 28, 2008

Hi Badrul dan Black


Badrul dan Black datang bertemu untuk makan tengah hari di Gerai Pak Teh, Taman Melawati. Kami berborak dan antara lain cerita adalah mengenai isu tuntutan di mahkamah dalam isu pilihan raya parlimen Rembau. Bagi Badrul, menang atau kalah tuntutan di mahkamah atas Khairy Jamaluddin ( Rembau) tidak penting kerana keputusan dalam Mahkamah UMNO ini selalu pelik. Bagi Badrul Hisham “Khairy tahu bahawa dia tewas”. Kita tidak kecewa kerana pada kami Badrul sudah menang dalam pilihan raya umum ke 12 itu dan kemenangan Khairy adalah kemenangan palsu – macam perjuangan Khairy Jamaluddin juga.

Kami juga menyingkap cerita reformasi – perjuangan dan demonstrasi yang kami lalui. Black adalah antara adik kami yang kini juga bergelar OKT. Kami di tangkap pada demo di KLCC baru-baru ini. Kata Black “ jalan dengan Nora mesti kena tangkap, sambil ketawa.

Dalam borak punya borak kita juga bercerita keperitan hidup sebagai seorang reformis. Bagaimana kita mengorbankan hidup masing-masing kerana menuntut pembaharuan di Malaysia. Memang cerita lama dan sungguhpun hidup waktu itu amat tertekan tetapi itu bukan penghalang kepada kita menuntut perubahan.

Cerita di teruskan dengan akhirnya kami semua membuat pesanan minum tambahan – anak tekak dah kering. Memang menyingkap cerita perjuangan reformasi amat mengasyikkan. Biasa lah, dengan kawan-kawan reformis. Kita kalangan reformis lahir dari kesedaran dan menuntut agar perubahan dilaksanakan. Untuk itu kita kena berdepan dengan risiko untuk tidur dalam lokap. Masa itu – golongan reformasi hadir dengan kesedaran sungguh pun tahu kita tahu juga risiko yang perlu kita lalui. Kita pastikan perjuangan itu adalah untuk membela nasib bangsa kita dan kaum serta bangsa lain yang tertindas.

Leret punya leret cerita tertumpu pada satu isu gabungan yang mahu dilaksanakan bagi menentukan arah dan kebajikan reformis. Wah.....selama hampir 10 tahun kita berjuang dengan pelbagai tekanan dan kesempitan hidup tiba-tiba ada orang yang tidak pernah kami tahu datang mahu mengumpul golongan reformis, mahu bertindak sebagai jurucakap dan pengerusi untuk membela reformis dan menentukan arah. Pelik bukan, mana orang ini sebelum ini.

Hari ini segelintir kecil mahu adakan pertubuhan yang akan memastikan nasib reformis terbela. Kelakar, selama ini kita melarat, tidak pula dipedulikan sekarang timbul konon-kononnya mahu menukar arah. Sayang, entah dari mana mereka timbul kini sibuk membuat ikrar untuk membantu reformis ini. Ha! Ha! Ha! baru sekarang... nak buat organisasi dan kemudiannya menggunakan nama seolah-olah golongan reformis ini memerlukan agenda dan memerlukan tunjuk ajar agar matlamatnya jelas dan tidak kelam kabut.

Ha! Ha! Ha! siapa dia dan siapa mereka ini! – kalau dahulu kita berkorban bersungguh-sungguh TAK DE PUN nak hulur bantuan kini sudah ada ura-ura mahu membuat pakatan reformis dan diterajui oleh orang yang tidak pernah muncul tiba-tiba “landing” sebagai moderator.

Jangan nak merapu – reformasi lahir dari kesedaran, pejuang reformis lahir dari kehendak kita terhadap perubahan dan kita berkorban untuk tujuan yang murni. Jangan benarkan orang menggunakan nama reformis untuk kepentingan tersendiri. Reformis pula jangan mudah terpedaya. Ini entah mana-mana datang orang mengaku reformis, mahu naik diangkat jadi kapten, disokong oleh entah sesiapa – melalut mahu jaga kebajikan kita.

Tapi orang macam ini tak ke mana. Saya, Badrul dan Black kemudiannya bersurai. Apa pun jangan tertipu, ramai yang mahu ambil kesempatan.

Terima Kasih atas sokongan semua

Lunch tadi, dengan Black dan Che Bard. Tetiba Black ada mengatakan mengenai laman blog penarik beca yang telah memberi link kepada laman ini. Terima Kasih diucapkan dan setiap kata-kata dan ucapan yang telah ditujukan kepada saya, memberi saya semangat untuk meneruskan penulisan dalam blog ini.

Tadi apabila membuka blog penarik baca http://penarikbeca.blogspot.com saya melihat beberapa artikel “posting” mengenai diri saya. Saya amat terharu atas penghargaan yang telah diberikan. Terima Kasih sekali lagi.

Namun satu artikel dalam posting itu bertajuk “Maafkan saya Nora” benar-benar menarik perhatian saya. Ini saya turunkan artikel itu untuk semua baca atau boleh terus ke “link” penarik beca yang telah saya sediakan.



Maafkan saya, Nora
http://penarikbeca.blogspot.com/search?q=Nora




Saya tak pergi hari tu. Memanglah demam. Tapi demam sekepoi ja (arwah mak dan pak saya, kalau kami demam sikit-sikit ja, depa kata demam sekepoi - satu kepul).

Maafkan saya, Nora. Saya tak pergi hari tu.


Lebih dari itu, maafkan saya, Nora. Memanglah, sejak 29 Mac 1982 (hari terakhir saya menjadi ahli ABIM), saya tidak pernah menyukai pemimpin anda, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehinggalah sekarang. Saya tak kisah kalau orang marah. Bila Zaharin menelefon saya memberitahu sah Anwar dipecat, saya bertakbir. Ketika itu, pengumuman rasmi Jabatan Perdana Menteri belum lagi dikeluarkan.Selepas 20 September 1998, apabila dunia diberitahu Anwar ditahan di bawah ISA yang serba celaka itu, Tuhan menjadi Saksi, saya memang bersimpati dan membantu kawan-kawan yang berkerja untuk Anwar.


Kawan-kawan yang tahu sikap saya dengan sinis bertanya: "Hai bakaq! Hang dah sokong Anwar dah?"Saya jawab: "Kalau babi pun kena tangkap ISA, aku tak suka, aku bantah. Anwar tu orang!" Mengimbas kembali waktu-waktu itu, antara yang saya tak lupa ialah tulisan kawan baik saya, Ahmad Lutfi Othman, kini Pengarang Harakah, yang menyifatkan orang-orang yang enggan memaafkan Anwar sebagai bodoh.

Saya tak jawab sebab saya selalu merasa kasih kepada dia.Lebih kaciwa kutu ini apabila orang yang saya rasa macam abang saya, Mat Sabu (peduli apa aku orang tak suka kat dia dan dia pun tak rasa aku macam adik dia), sanggup terbang ke Munich dari Lebanon (tempat dia pergi mengaji sekejap selepas kalah Pilihanraya 2004) menziarahi Brother dia...


Saya tidak lagi bersimpati kepada Anwar selepas dia
dibebaskan, tetapi saya juga tak boleh menjerkah hak demokrasi Mat Sabu untuk melawat siapa sahaja yang dia suka.

Maafkan saya, Nora. Sikap saya tentang Anwar mungkin menyakitkan hati anda. Tetapi sudah lama saya hendak menyatakan apa yang dinyatakan oleh Ronnie:

"Nora was never afraid of the police. She’s my hero."

Hari ini, saya jerit kuat-kuat:

"Nora tak pernah takut kepada keganasan polis. Dia hero saya!!!"



Amat terharu dengan permohonan maaf tersebut tetapi apa yang penting adalah untuk kita sama-sama memperjuangkan hak rakyat, membebaskan kita sebagai rakyat Malaysia dari penindasan dan kezaliman yang diperlakukan ke atas kita. Itu keutamaan saya. Isu rakyat tertindas adalah isu yang perlu kita perjuangkan dan kita tidak perlu menjadikan seseorang atau sesiapa sebagai tokong untuk kita sembah. Kita berjuang, kita katakan apa yang kita perlu katakan tanpa takut dan tanpa ragu. Yang salah itu salah dan itu perlu kita perbetulkan.

Ini bukan sesuatu yang terlampau akademik untuk kita katakan. Kalau kita ambil seseorang itu sebagai tokong akhirnya kita menyembah dan ini bukan caranya. Kita ambil sesuatu itu berdasarkan isu – kalau isu itu menindas rakyat terbanyak kita lawan biar siapa pun kerana kita bukan terikat untuk menyembah sesiapa. Maaf, satu pandangan ringkas dari saya buat hari ini.

Thank You , Terima Kasih – saya hargai semua


Saturday, April 26, 2008

Nostalgia Masjid Negara



Masih ingat tak gambar ni? Semalam pada 25hb April 2008 selepas saya hidangkan makan malam untuk anak-anak saya, saya terpandang almari lama berdekatan dengan beranda rumah dan di dalam almari itu terlalu banyak nostalgia yang tersimpan. Tiba-tiba saya terpandang sebuah album lama yang mengandungi gambar-gambar lama dalam simpanan saya. Gambar inilah yang menjadi nostalgia perjuangan sehingga kami di panggil beramai-ramai untuk prosiding mahkamah tempoh hari..Ini adalah sebagai bukti perjuangan kami menentang kezaliman rejim Dr Mahathir.

Tapi hari ini kita di siarkan dengan berita-berita kehebatan Dr Mahathir berbanding dengan Pak Lah. Bagi saya,pemerintah yang kurang zalim dan yang zalim sama saja. Asasnya mereka tetap zalim. Selagi mereka menindas rakyat terbanyak untuk kepentingan kroni mereka perlu kita lawan.

Hanya ada satu perkataan untuk pemimpin yang lupa pada rakyat - LAWAN

Friday, April 25, 2008

Mahkamah 23/04/2008



09.34 pagi, mahkamah jalan Duta-tingkat 3, Bilik 7- kes solat hajat harakah 1999. Kehadiran agak lewat,saya gembira dapat berjumpa teman-teman seperjuangan yang ditahan bersama-sama saya ,mereka adalah Tian chua, Sivarasa ,Malik Hussin, Mona sofian, Hishamudin Rais, Munim, Ansari, Lokman Nor Adam, Zunar dan yang turut terlibat adalah reformis, Allahyarham Umar Tan (Al-Fatihah buat beliau).

Majistret untuk kes tersebut adalah Puan Yusliana Binti Yusuf,yang dikatakan tegas dan bengis. Satu insiden yang menarik perhatian saya adalah arahan supaya Hishamudin Rais menanggalkan kot beliau. Hishamudin menolak arahan mahkamah yang dianggap tidak wajar dan tidak mempunyai asas perundangan untuk mengarahkan beliau berbuat demikian. Tindakkan Hisham ini memang tepat supaya kami reformis,tidak di pelaku sewenangnya. Insiden yang menarik seterusnya adalah waran tahan ke atas Sivarasa kerana beliau tidak hadir pada prosiding mahkamah tersebut. Alasan bahawa Sivarasa sedang mengendali kes mahkamah yang lain tidak diterima.



Kes ini terlalu lama dan hampir 9 tahun. Saya tak nampak kes ini sepatutnya berlanjutan yang diberi adalah pihak pendakwa tidak bersedia. satu alasan yang tidak munasabah. Buang saja kes ini. Kes ini adalah penentangan kami terhadap kezaliman Dr Mahathir sewaktu pemerintahan beliau.

Tetapi hari ini saya berasa hairan kerana kezaliman Mahathir se olah dilupakan. Hari ini Mahathir se olah mengkritik sistem yang dibuatnya sendiri. Saya tidak boleh lupa tentang kezaliman yang ada sewaktu pemerintahan beliau serta kepincangan yang berlaku sehingga ke hari ini di bawah pemerintahan Pak Lah.

Sebaik sahaja prosiding mahkamah selesai,saya dan teman-teman bergegas ke Taman Greenwood untuk menghadiri pengebumian salah seorang penulis tersohor reformasi iaitu Allahyarham Rustam Sani yang telah pulang ke rahmatullah pada pukul 2.30pagi pada 23hb April 2008.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin

Apa pun saya akan sentiasa bersama rakyat dalam menuntut hak dan keadilan.

Tuesday, April 22, 2008

Salam perjuangan


Blog ini didedikasikan khusus buat anak-anak tersayang dan teman-teman seperjuangan yang masih terus mengekalkan tekad dan semangat untuk berjuang demi mempertahankan hak rakyat. Ini adalah untuk mengabadikan nukilan perjuangan saya semoga ia menjadi pedoman kepada semua khususnya dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Saya berharap blog ini akan dapat mengeratkan silaturahim kita sesama pejuang reformasi yang wujud pada tahun 1998. Sepanjangan perjuangan ini berbagai pengalaman yang telah saya dan teman-teman lain lalui, lantas ini antara coretan perjuangan yang boleh kita kongsi bersama. Kita kuatkan tekad, kita kuatkan semangat, perjuangan harus di teruskan untuk kita, untuk anak-anak kita dan untuk rakyat Malaysia seluruhnya.


Salam perjuangan - Nora