Monday, June 29, 2009

Terima Kasih

Terima Kasih, Aiman Athirah Al Jundi http://aljundiathirah.blogspot.com/ dan Kak Narshita, Dr. Wardah dan adik Asiah kerana sudi datang ke rumah Nora. Kehadiran mereka telah memberi semangat kepada Nora untuk berdepan dengan tragis yang menimpa Nora baru-baru ini. Dan segala kesulitan ini Nora terima dengan tabah. Ini ujian buat Nora dan ujian ini akan Nora tempuhi penuh redha.



Nora amat berterima kasih kepada kawan-kawan Nora yang lain – Che Bard, Black (Amin Iskandar) Norzaidi, Fadhil atau Kambing, Ustad Badrul Amin, Dr Nasir dan lain-lain yang tidak sempat Nora sebutkan. Hari ini sudah lewat jam 4.00 pagi – Nora baru pulang dalam menyelesaikan satu lagi masalah baru yang terbit akibat sikap buruk dan tidak bertanggungjawab orang yang tidak orait itu lagi – nak harapkan dia – memang sudah tidak boleh lagi. Nora dalam tiga hari ini berdepan lagi dengan dugaan kehidupan. Alhamdulillah ia dapat Nora selesaikan. Apa pun Nora terima dan demi anak-anak – Nora sanggup lakukan apa sahaja.



Sungguhpun ada kalanya agak perit untuk Nora lalui namun untuk meratapi nasib – bukan cara Nora. Nora bukan Nora yang terpapar sewaktu dalam reformasi atau tak kala hadir dalam perjuangan menuntut keadilan. Nora juga insan biasa yang melalui hari demi hari dengan dugaan yang amat getir. Cuma akhir-akhir ini – Nora berani, jauh lebih berani kerana sanggup melakukan transformasi dan reformasi diri. Nora bangkit keluar dari genggaman lelaki yang tidak orait – meratah hari untuk membina semula hidup Nora. Alhamdulillah – sedikit sebanyak Nora susun semula. Dengan sedikit kekuatan itulah Nora berani menulis mengenai lelaki yang tidak orait itu – melepasi gerigi besi yang selama ini membelenggu Nora. Nora juga bertekad untuk membantu mereka yang turut mengalami masalah yang sama, setakat yang Nora mampu. Nora bukan dari mereka yang belajar tinggi tetapi Nora hadapi hidup sebagai sebuah paparan pelajaran – boleh dikatakan Nora lalui secara praktik dan bukan teori. Apa yang daya Nora nasihat akan Nora nasihat. Hidup ini kadang-kadang - elok di pandang mata sebenarnya tidak elok dalam hati nurani dan ada pula yang sakit dipandang mata tetapi murni hati dan budi. Jangan terpedaya!



Kita nilai sebaik mungkin dan tidak hanya melihat pada kecacatan yang ada sebagai konklusi keburukan. Apa pun Nora pasti perjuangan tidak selesai lagi. Nora percaya Nora perlu berubah dan Nora percaya perubahan itu akan memberi kesan pada persekitaran Nora yang akan memberi impak kepada keadaan keliling.

Kepada semua – Terima Kasih

Sunday, June 21, 2009

Tragis buat Nora

Blog tidak di “update” beberapa hari kini. Kritikalnya keadaan amat membimbangkan. Yang “tidak orait” semakin tidak membantu dan baru-baru ini nasib malang menimpa salah seorang dari anak Nora. Memang tangisan dan rintihan sahaja yang menjadi teman. Di pandang kiri nampak semakin gelap dan di toleh kanan muram semakin menjadi-jadi namun Nora cuba untuk tabah.



Amat payah untuk Nora gambar dan tuliskan – tidak mungkin pekong ini boleh di buka. Hanya menjadi harapan Nora – anak Nora akan terus berhadapan dengan realiti hidup dan sedar bahawa yang tidak orait itu tidak akan dapat membantu hidup anak-anak Nora. Berbakul rasanya mahu Nora sumpah yang tidak orait itu – masakan anak sendiri di biar merempat sehingga tragis itu berlaku. Malang seribu kali malang.

Nora tidak dapat menceritakan tragis ini – cukup Nora simpan sebagai pengalaman hitam dalam hidup Nora dan anak Nora yang terlibat itu. Pada anak Nora – mama akan sentiasa jadi mama dan cinta serta kasih sayang mama pada semua tidak akan terlerai biar apa pun terjadi.

Apa pun Nora mengucapkan terima kasih pada Chegu Badrul, yang sudi hadir ke hospital melawat kami anak-beranak dan sudi mendengar rintihan Nora. Moga awan mendung ini segera berarak lalu. Moga lelaki yang tidak orait itu terus hidup dalam kepura-puraan. Nora berharap ruang dan peluang bagi lelaki yang tidak orait itu di tutup – sebagaimana kabur masa depan anak Nora – yang di bawah jagaannya. Kepada yang mahu terus membantu atas cerita palsu lelaki yang tidak orait teruskanlah. Tidak akan menjadi pahala (insyallah) sedekah kamu kepada lelaki yang tidak orait tersebut. Terima Kasih juga pada Azmin Ali yang sedia mendengar rintihan tersebut.


Kepada Anak Ku,

Mari dekap pelukan ini,

Lupakan sesal dan kesal hidup,

Ingat,

Duka mu adalah duka mama mu juga,

Akan mama dakap biar segala duka itu lemas dalam pelukan mama,

Akan mama dakap biar segala kegelapan itu terhapus dengan cinta mama,

Anak ku,

Sedarlah kelak,

Ada perkasa yang merupa manusia – iblis di dalamnya,

Ada sateria yang bersikap mulia – jijik sebenarnya orangnya,

Anak ku,

Sedarlah, kala ribut itu datang, kala malam itu kelam, kala siang mu membungakan segala derita – percayalah mama masih di sini – menerima

Buat yang tidak orait – kau pikul segala dosa – kerana kau sendiri tidak punya maruah – mungkin hilang sifat bagai manusia.

Anak ku – derita itu derita mama jua.

Friday, June 12, 2009

Perginya seorang reformasi

Allahyarhamah Zaiton Bee Ibrahim – Bekas Ketua Wanita Keadilan Bukit Bintang, seorang reformis kenalan Nora telah kembali ke rahmatullah pada 10 Jun 2009 lalu di HKL jam 2.00pm. Bagi Nora jasa dan pengorbanan beliau dalam memperjuangkan reformasi pada ketika itu amat besar. Semoga Allah mencurahi rahmat ke atas roh beliau - ALFATIHA





AL FATIHA

sebarang ucapan takziah dan pertanyaan ,boleh di tujukan kepada Abg Bakar (suami) 016-3217764

Wednesday, June 3, 2009

Ekonomi meleset – cari rakyat miskin untuk tampung

Biasa sangat. Bila ekonomi negara dalam keadaan kegawatan – kita cari mana-mana yang miskin – kita miskinkan lagi. Lihat apa yang dilakukan oleh DBKL – naikkan sewa tanpa tahu dan mahu mengkaji dahulu sebelum menaikkan sewa. Lihat kedudukan sesetengah gerai yang telah di diskriminasi oleh DBKL.



Lihat dan kaji lokasi dan kedudukan sebelum kita bertindak menaikkan sewa. Bila Nora tegur melenting tetapi Nora percaya DBKL tidak tahu apa yang mereka lakukan. Naik sewa boleh – tetapi fikir dahulu kadarnya – kalau yang telah di sumbat kat belakang tandas itu nak dikenakan sewa tinggi – mana adil. Kaji dan teliti. Wei, kalau rumah kat Bangsar lain kadar sewa dari rumah kat Lembah Beringin. Jangan main hentam aje – itu sebab sebenarnya Kuaal Lumpur jatuh kepada pembangkang dan kerajaan yang ada hanya menumpang atas perlembagaan dan bukan sokongan warga Kuala Lumpur.

Monday, June 1, 2009

DBKL - penyamun berlesen dah tiba!


Memang bagi peniaga di Majid India seperti Nora sudah pun tahu. Asal ada sahaja operasi pekerja asing – kaki-kaki “rambo”, orang asing semua sudah sedia maklum. Hari ini dalam keratan media arus Perdana ada memaparkan berita bertajuk “semua pembantu gerai asing ghaib” - bukan sesuatu yang baru. Sejak tahun 1998 lagi repot mengenai isu ini dibuat. Surat Khabar Sinar telah memaparkan kenyataan Nora berkali-kali. Ini bukan sesuatu yagn baru malah banyak lagi kegiatan-kegiatan curang di Majsid India berlaku yang rata-rata mempunyai bau-bau rasuah.

Bagaimana operasi seperti ini boleh bocor – sebelum operasi bermula – hampir satu minggu, pekerja asing sudah sedia maklum. Mereka kalanya tahu masa dan ketika, pihak DBKL akan tiba untuk membuat operasi.

Malah ada operasi yang secara terang nampak tetapi di pejamkan mata, kehadiran orang asing berniaga di Masjid India. Sial tidak sial – Nora dan rakan-rakan lain pernah membuat laporan polis tetapi malangnya kedai kami yang di serbu. Kami juga dikatakan sebagai orang jahat lantas kedai kami di campak ke belakang untuk terus menyulitkan perniagaan kami. Bagi Nora – DBKL penuh dengan rasuah dan nak saman-saman lah. Tapi ingat – sebelum saman Nora ada gambar dan keratan akhbar mengenai apa yang Nora katakan ini. Malah dalam blog Nora – Nora pernah mencabar Datuk Bandar KL sebelum ini.

Apa yang berlaku sekarang ini amat memualkan – peniaga seperti hamba yang di ugut oleh mereka. Bersuara – maka lesen akan di gantung – tetapi bagi orang asing yang tidak punya lesen, mereka bebas berniaga di mana-mana. Adakah ini tidak menunjukkan sesuatu yang tidak kena – adakah salah kalau Nora katakan ada unsur RASUAH. Nora mula berniaga di Masjid India tahun 1998 – sebelum itu berjuang untuk mendapat tapak bagi orang Melayu untuk berniaga.

Hari ini kenyataan media mengenai “semua pembantu gerai asing ghaib” membuatkan Nora terbahak-bahak ketawa. Baru nak tahu. DBKL dah musnahkan perniagaan kami, sumber pendapatan kami dan hari ini baru mahu menunjukkan sikap malaikat mereka untuk membantu kami.


Sudahlah..selagi rasuah berlaku, Najib jalan-jalan ke Masjid India tidak akan dapat membantu kami. Jalanlah setiap minggu, minum air kat warung – tetapi kalau DBKL tidak dibongkar kepincangan mereka – selagi itu warga kota akan terus membantah.