Salam buat semua,
Perjuangan menuntut keadilan, menuntut agar sikap perikemanusiaan hadir , sikap hormat-menghormati dan menghapuskan mereka yang hanya berpaksikan kepada kepentingan sendiri dalam memimpin dan menerajui negara ini tidak pernah luntur dari Nora. Kalau ada suara-suara sumbang mengatakan bahawa Nora menyertai UMNO maka bukan sahaja suara itu sumbang bahkan penyampai itu sendiri sumbang.
Nora masih berdiri di kalangan pejuang yang Nora rasakan mereka ikhlas berjuang. Nora tidak akan membiarkan mereka yang berpura-pura berjuang tetapi hanya hadir dengan sikap oportunis hanya mahu mengaut dan membusuk-busukkan nama reformasi dan reformis.
Ini Nora gesa untuk kita bantah dan untuk kita hapuskan kerana musuh dalam selimut adalah musuh utama yang akan menghancurkan usaha kita demi mencapai keadilan buat semua rakyat Malaysia. Nora tidak faham kenapa mereka ini masih terus dibelai oleh kepimpinan PKR amnya dan PR khususnya. Mereka sepatutnya lebih arif dalam mengenal pasti sama ada yang ada di depan mata adalah pejuang untuk keadilan atau pejuang untuk tembolok mereka sendiri. Kenapa tidak tanya, kenapa tidak ada inisiatif untuk mengetahui kerana kepimpinan yang tidak mengetahui, bukan seorang pemimpin yang baik malah tidak salah kalau kita katakan bahawa mereka sama buruk dengan perbuatan yang dilakukan oleh pihak oportunis itu.
Nora akan kembali semula..menuntut keadilan, menuntut hak dalam memperjuangkan agenda yang besar, membebaskan diskriminasi dan tindakan kejam kerajaan yang memerintah yang selama ini lupa pada rakyat. Perjuangan yang sama akan Nora lakukan sekiranya kalangan kita juga lupa pada rakyat kerana Nora lahir dari penderitaan rakyat dan hadir dalam perjuangan ini untuk sama-sama menegakkan suara rakyat suara keramat.
Nora tidak meminta habuan wang ringgit tetapi cukup sekadar kepimpinan melakukan sesuatu perkara dengan adil dan penuh ketahuan. Andai itu sudah luntur maka sia-sia pengorbanan ratusan ribu rakyat yang bangkit sama-sama memperjuangkan agenda reformasi.
Apa pun Nora bertekad untuk meneruskan apa yang Nora lakukan, bersama-sama rakan yang ikhlas berjuang untuk menegakkan kebenaran dan untuk melahirkan satu sikap yang mengutamakan perlakuan baik, murni dari sikap yang hanya mementingkan diri sendiri. Nora akan hadir semula dengan agresif, tetapi sekiranya kita leka dalam memastikan pasukan kita jujur dan bersih maka perjuangan kita turut akan terlempar najis yang amat menjijikkan. Kita bangkit sekali lagi setelah retak tulang-tulang ini bertempur, kita bangkit sekali lagi bagi memastikan keadilan dan kita bangkit sekali lagi agar nilai kemanusiaan di utamakan.
No comments:
Post a Comment